Takwin – Keseimbangan Antara Ruhi Fikri Jasadi

Assalamualaikum,

Fasa pembentukan (takwin) adalah fasa yang sangat kritikal jika diteliti dengan baik. Mereka yang sudah memasuki fasa ini seharusnya tidak memanja-manjakan dirimemberi alasan yang remeh-temeh bahkan sepatutnya sudah tidak lagi membangkitkan urusan-urusan peribadi sehingga mengganggu perjalanan seruan itu sendiri.

Ibadatnya terus dilakukan melebihi dari tahap mutabaah amal yang ditetapkan. Sedih dan gusar akan melanda tatkala amalannya (meskipun amalan sunat) berkurangan sedikit berbanding sebelumnya. Resah apabila amalan wajib tidak sekhusyuk seperti yang sepatutnya.

Dirinya sering risau pada penyakit hati yang selalu dijangkiti para abid – ujub, riak, takabbur, sum’ah. Akhlaknya sentiasa dijaga dan diperbaiki dari hari ke hari.

Tahapan ukhwah sudah mencapai itsar (mengorbankan diri sendiri untuk kesenangan saudara yang lain).

Husnuzon dan berhati-hati dalam berkata-kata sudah menjadi amalan. Bukan sahaja kata-kata lisannya, malah kata hatinya dan lintasan fikirannya turut dikawal dari membuat sangkaan buruk kepada lingkungan sekelilingnya.

Tadhiyyah (pengorbanan) sudah menjadi perkara biasa. Bukan lagi perkara yang dibangkitkan atau disebut-sebut. Malah sepatutnya tadhiyyah itu sudah sebati di dalam dirinya. Tadhiyyah menjadi suatu nikmat, bukan lagi satu penyeksaan diri akibat ingin mencapai ke tahap itsar.

Tsiqah pada pemimpinnya dan apa jua keputusan yang diputuskan di dalam mesyuarat atasan. Segalanya diterima dengan penuh wala’ dan dirinya terasa seperti ingin menggerakkan perancangan yang telah dirancang. Menjadi tentera fikrah dan aqidah yang selalu berada di barisan paling hadapan dalam apa jua kerja amal.

Dirinya sentiasa bersiap sedia menerima apa jua arahan. 24 jam! Tidak kira dalam apa keadaan sekalipun. Baik ketika dia dalam keadaan senang, mahupun dalam keadaan sibuk. Baik ketika dia dalam keadaan segar, mengantuk ataupun sedang lena tidur!

Sebarang panggilan akan disahut dengan penuh taat dan berserah diri, tanpa apa-apa rasa tidak suka ataubenci atas panggilan yang diterimanya. Dirinya faham bahawa setiap panggilan itu bukanlah dibuat sewenang-wenangnya oleh individu tertentu, bahkan ini adalah panggilan seruan! Seruan yang digerakkan oleh fikrah dan aqidah itu sendiri.

Dirinya faham yang sebarang keputusan dan setiap tindakan yang akan dilakukannya perlu selari dengan tuntutan dan tanggungjawab seruannya.

Dirinya seakan telah dijual olehnya pada tuntutan dan tanggungjawab itu. Justeru, setiap keputusan akan dibawa berbincang terlebih dahulu. Biarpun urusan peribadi sekalipun. Kerana dia faham yang dirinya adalah batu-bata yang mengukuhkan satu bangunan.

Berkenaan takwin, Ar-Raqaiq mengungkapkan satu perenggan yang penting untuk difahami bagi membentuk keseimbangan di dalam fasa ini :

Sejarah jemaah menyaksikan terdapatnya ketidakseimbangan dalam takwin (pembentukan) dan tarbiah di beberapa tempat. Ada yang memberikan tumpuan yang lebih kepada sesuatu sudut tertentu dan kurang pada sudut-sudut yang lain.

Ada kawasan yang anda dapat lihat memberikan tumpuan yang lebih pada sudut ibadat dan tazkiyah jiwa. Ada kawasan lain pula memberikan tumpuan yang lebih kepada sudut fikrah, manakala di lain tempat pula melebihkan aktivisme politik semasa.

Kepelbagaian ini melahirkan kepelbagaian pembentukan.

Bagaimana dengan kita?

Adakah amalan ruhi kita mantap sehingga kita boleh digelar seperti “rahib di malam hari”?

Seruan kita, adakah selari dengan fikrah yang didukung sehingga kita boleh digelar seperti “singa di siang hari”?

Jasad kita, masihkah mampu menghasilkan output tenaga yang luar biasa? Bekalan untuk mengharungi jalan yang panjang.

Bagaimana dengan takwin diri kita dan hasil takwin kita? Adakah seimbang dari segi ruhi, fikri dan jasadi?

AH
25 Ogos 2009, 7.34 petang
Nice, France

0 Responses to “Takwin – Keseimbangan Antara Ruhi Fikri Jasadi”


  • No Comments

Leave a Reply