Tag Archive for 'Takwin : Back To Basic'

Takwin : Back To Basic

Assalamualaikum,

Sebenarnya, masalah-masalah utama lingkungan kita ialah perkara-perkara asas yang masih tidak difahamidan tidak diamalkan oleh ahli-ahlinya.

1. Niat.
2. Akhlak.
3. Amal fardi (hubungan dengan ALLAH).

Itu sahaja.

Bukannya masalah kita ingin menguruskan negara. Mahupun masalah seseorang itu tidak menguasai teori-teori ekonomi, mekanikal, elektrikal, fizik yang rumit.

Kerana akar masalahnya ialah perkara-perkara asas yang masih belum selesai pada individu di dalam lingkungan kita ini.

Mereka yang berpengalaman ditindas, dipenjara, dihina dan dicaci seorang diri di dalam penjara, akan seringkali mengingatkan kita supaya seringkali membetulkan niat kita.

Kerana niat kita adalah lintasan hati yang berlaku secara spontan. Adakalanya lintasan itu bersifat al-hawa, adakalanya lintasan wahyu (islam).

Jadi perlunya kita berjaga-jaga dengan setiap lintasan hati ini. Jika ia terpesong ke arah nafsu, halakan semula ia ke islam.

Mereka yang merungut-rungut apabila dipanggil, diberi tugasan yang ringan mahupun yang berat, di kala dia lapang ataupun sesak, bagiku ini adalah masalah niat.

Jika hidupnya diniatkan 100% hanya kerana ALLAH, maka sudah tentu setiap kerja yang bersangkut-paut dengannya akan diterima dengan rela.

Jika dia menerimanya dalam keadaan susah, maka sabar adalah penawarnya.

Tugasannya tetap disiapkan walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Bukankah setiap hari kita sentiasa mengulang-ulang perkataan ini di dalam solat kita? :

“Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah kerana ALLAH, TUHAN sekalian alam”

Ada sahaja individu yang cukup baik di hadapan para ikhwah di sekelilingnya. Tetapi apabila pulang ke rumah, cukup ego dan sombong dalam menerima nasihat atau pandangan isterinya.

Lebih malang lagi, jika dia sendiri tidak menyedari akan kesilapannya itu. Jauh sekali untuk bermujahadah untuk melawan sikap jahiliyyahnya itu.

Ini masalah akhlak! Tidak faham akhlak islam.

Masalah-masalah yang berlaku di setiap medan itu pula sering berkait dengan amal fardi pembawa seruannya. Siapa lagi kalau bukan kita?

Bagaimana ingin kita membawa orang ke islam yang syumul sedangkan hidup kita sendiri tidak dikelilingi oleh islam itu? Bukankah setiap mad’u itu akan mengikut acuan murabbinya?

Jika murabbinya kedekut untuk menginfaqkan hartanya, lupakan sahaja memperoleh mutarabbi yang pemurah.

Jika murabbinya seringkali malas-malas/melengah-lengahkan menghadiri perkumpulan mingguan wajib untuknya, lupakan sahaja memperoleh mutarabbi yang sentiasa berdisiplin datang bertemu dengannya.

Jika murabbinya hidup dalam keadaan dirinya yang jauh dari masjid mahupun solat awal waktu, lupakan sahaja memperoleh mutarabbi yang akan istiqamah di dalam solatnya di masjid.

Jika murabbinya selalu sahaja menghabiskan masa melayani perempuan tanpa apa-apa keperluan syar’i, lupakan sahaja memperoleh mutarabbi yang terjaga dari segi ikhtilatnya (perhubungan).

Jika murabbinya sering sahaja ke website-website shopping, sering sahaja berhibur di youtube, facebook dan sebagainya, lupakan sahaja memperoleh mutarabbi yang akan sentiasa memikirkan masalah umat, bertindak ke arah memperbaikinya dan siap menyusun dirinya untuk kepentingan seruan ini.

Lihatlah dirimu dulu, sebelum menuding ke arah setiap kelemahan ‘mutarabbi’mu.

Kerana mutarabbi sebelum ‘mutarabbi’ ialah dirimu sendiri.

Kerana dirimulah pusat lahirnya kelemahan ‘mutarabbi’mu. Engkaulah yang menyebarkan virus lemahnya ‘mutarabbi’mu.

Niat yang terpesong, akhlak yang buruk, amal yang kurang. Itulah masalah kita, para penggerak seruan ini.

Pernahkah kita terfikir…

Jika penggeraknya sebegini, bagaimana pula pengikutnya? Astaghfirullah.

AH
22 September  2009,  12.13 tengah malam
Nice, France