Tag Archive for 'Benih Yang Sama'

Benih Yang Sama, Hasil Yang Berbeza

Assalamualaikum,

Sudah banyak kali bermain-main di fikiranku, mengapa benih-benih yang kita kutip dan tanam tidak membuahkan hasil sesubur benih-benih yang mereka tanam. Hasil yang kita peroleh tidak setara dengan hasil mereka.

Sedangkan, benih yang diambil itu ditanam di dalam bekas yang sama, disiram dengan air yang sama dan baja yang sama.

Adakalanya aku melihat, kita mengutip benih yang lebih baik dari yang mereka kutip. Lalu semaian kita jauh lebih menjadi dari semaian mereka di awal-awalnya.

Banyak yang boleh kita lakukan dengan kualiti semaian sebegini. Seakan-akan memberi harapan baru kepada kita yang menyemainya. Manfaatnya bukan pada kita, orang yang mengusahakan kebun-kebun kecil ini. Tetapi untuk semua yang akan merasai kemanisan hasil-hasil kebun ini yang kita berikan secara percuma.

Apa sajalah yang tinggal untuk kita melainkan redha Tuan kebun itu sendiri. Pekerjaan utama kita tiada lain melainkan mengusahakan kebun-kebun kecil ini supaya hasilnya dapat diberi percuma kepada semua orang. Bekerja tanpa gaji, siang dan malam menjaga benih-benih semaian ini.

Malangnya ia tidak bertahan lama.

Atau boleh aku katakan, benih yang biasa-biasa sahaja yang mereka tanam memberi hasil yang jauh lebih baik dari benih-benih luar biasa yang kita tanam.

Mengapa boleh jadi begini?

Tapak semaian, siraman dan bajanya sama.
Penjagaannya masih siang dan malam.
Benih kita jauh lebih berkualiti dari mereka di awal-awalnya.
Sepatutnya hasil kita lebih subur dari mereka.

Tapi mengapa boleh jadi sebaliknya?

Semakin jauh melangkah di jalan ini, semakin dekat aku melihat hakikat asalnya. Semakin lama ku tenung titik asal di mana mulanya kita melangkah bersama.

Benih yang kita tanam sekian lama, hanya mampu menjadi pohon-pohon kecil, tidak cukup rimbun untuk meneduhkan orang lain. Semuanya berpunca dari kita, orang yang menyemainya.

Kita tidak seikhlas penyemai benih yang hasilnya cukup menjadi itu.
Ruh kita mati dengan maksiat yang kita lakukan sepanjang hari.

Obor malam yang kerap kita nyalakan dahulu telah lama terpadam!
Sepi tanpa amal munajat dan tahajud.

Jauh sekali air mata taubat menyesali setiap perkataan yang tidak kita perbuat, dosa-dosa lalu yang turut menghumban kawan-kawan kita yang lain ke lembah kehinaan.

Doa kita seringkali melupakan kesejahteraan binaan kita. Mohon dibuka hati-hati mereka untuk turut meninfaqkan diri mereka di jalan ini. Agar setiap langkah mereka itu menghampiri Firdaus.

Hati kita mati dengan gelak tawa yang banyak tanpa tujuan.
Rujukan lain sudah mengatasi Quran dan Hadis, panduan kita.

Taujih kita lebih berkitar soal jemaah, tidak lagi pada hakikat jemaah itu.
Langkah kita semakin hari semakin lesu untuk ke masjid.

Perbincangan kita sudah banyak berputar pada amal & akhlak mereka.
Sedangkan amal & akhlak kita entah ke mana.

Dan banyak lagi hakikat asal yang telah banyak kita lupakan akibat terlalu jauh membayangkan matlamat kita di dunia ini.

Semestinya kita menginginkan hasil yang baik dari setiap benih yang kita semai. Namun, interaksi kita dengan hidayah ALLAH yang sebenarnya menentukan hasilnya dari awal hingga akhir.

Sudah semestinya kita sentiasa mengimpikan pohon bermanfaat yang terus boleh hidup subur, walaupun setelah pemergian kita. Sehingga ALLAH mentakdirkannya mati.

Dan moga matinya pohon-pohon itu adalah di medan-medan syuhada, medan di mana telah kita wasiatkan di awal-awal perjalanan untuk disemadikan di dalamnya.

Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. – Al Mulk, ayat 2

AH
4 Disember 2009,  2.31 pagi
Nice, France