Monthly Archive for March, 2010

Muharrik All Out

Assalamualaikum,

Di dalam risalah pergerakan, ada tertulis mengenai kehidupan seorang ikhwah Mesir yang setiap hari minggunya dipenuhi dengan aktiviti dakwah dari satu tempat ke satu tempat lain yang amat berjauhan antara satu sama lain.

Beliau melakukannya secara senyap, sehinggakan ikhwah di tempat lain tidak mengetahuinya, kecuali mas’ulnya sendiri. Rahmat Abdullah juga pernah menyampaikan perkara yang sama di akhir ceramahnya…

Abdul Fattah Abu Ismail, salah seorang murid Imam Hasan Al Banna yang selalu menjalankan tugas dakwahnya tanpa keluhan sedikitpun.

Dialah yang disebutkan Hasan Al Banna orang yang sepulang dari tempatnya bekerja sudah berada di kota lain untuk memberikan ceramah kemudian berpindah tempat lagi untuk mengisi pengajian dari waktu ke waktu secara maraton.

Beliau selalu berpindah-pindah dari satu kota ke kota lain untuk menunaikan amanah dakwah. Sesudah menunaikan tugas dengan sebaik-baiknya, beliau merupakan orang yang pertama kali datang ke tempatnya bekerja. Malah, beliau yang membukakan pintu gerbangnya.

Pernah beliau mengalami keletihan hingga tertidur di sofa rumah Zainab Al-Ghazali (akhawat yang didera di dalam penjara Mesir dan telah merakamkan pengalamannya dalam buku Hari-hari Dalam Hidupku).

Melihat keadaan tubuhnya yang lelah dan penat itu, tuan rumah membiarkan tamunya tertidur sampai bangun. Setelah menyampaikan amanah untuk Zainab Al Ghazali, Abdul Fattah Abu Ismail bangkit untuk ke kota lainnya.

Kerana keletihan yang dialaminya, Zainab Al Ghazali memberikan sedikit wang untuknya menaiki teksi. Abdul Fattah Abu Ismail mengembalikannya sambil mengatakan,

“Dakwah ini tidak akan dapat dipikul oleh orang-orang yang manja.”

Zainab pun menjawab,

“Saya sering ke mana-mana dengan teksi dan kereta-kereta mewah. Tapi saya tetap dapat memikul dakwah ini dan saya pun tidak menjadi orang yang manja terhadap dakwah. Kerana itu, ambillah wang ini. Tubuhmu letih dan engkau memerlukan istirehat sejenak.”

Abdul Fattah pun menjawab,

“Berbahagialah ibu. Ibu telah berhasil menghadapi ujian Allah swt berupa kenikmatan-kenikmatan itu. Namun, saya khuatir saya tidak dapat menghadapinya sebagaimana sikap ibu. Terima kasih atas kebaikan ibu. Biarlah saya naik kenderaan awam saja.” – sumber

Siapa lagi yang akan bekerja all out sebegini pada zaman ini? Pastikan KITA!

Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya) – Al Ahzab, ayat23

AH
31 Mac 2010, 2.38 petang
Nice, France

Rentak Pertarungan

Assalamualaikum,

Aku jangkakan, apa yang ku lihat dan ku dengar sebelum ini sudah cukup ganas dan mengerikan. Rupanya ada manusia yang bekerja lebih dahsyat. Kali ini aku menyaksikannya di depan mata ku sendiri.

Wajahnya ku lihat sugul. Matanya sudah kemerah-merahan. Masih mampu melayan setiap orang yang berjumpa dengannya dengan ceria, seakan-akan tidurnya cukup. Sedangkan dirinya sudah berminggu-minggu dalam keadaan begini.

Sampai di satu-satu tempat, terus bergegas ke tempat-tempat pengisian. Semua kudratnya dikerahkan sehingga lewat malam. Esok pagi, sebelum bangkitnya yang lain, dirinya sudah menghadap ALLAH, mendirikan madrasah malam. Tahajud dan munajat sebelum tibanya waktu subuh. Biarpun malam sebelumnya beliau memberi taujih sehingga pukul 2 pagi.

Habis di satu tempat, tanpa bertangguh, akan bergegas ke tempat lain pula. Cuba mengambil jalan terpantas dan memaksimumkan kelajuan kenderaan untuk menjimatkan masa perjalanan supaya masa pengisian dapat dimaksimumkan.

Tidur? Entah… macam tak tidur je. Sekadar power nap. Qudwahnya membuatkan ku tertekan melihat amal dan rentak ku.

Jom TGV! Tarbiyah Grande Vitesse!

AH
18 Mac 2010, 1.45 pagi
Somewhere on earth

Liku-Liku Perjalanan

Assalamualaikum,

Di suatu pertemuan, pernah ku bacakan petikan ini di hadapan sekumpulan duat yang baru sahaja berkembang mekar… dahan amal mereka sudah mula menggapai dan merimbun manusia-manusia lain…

Setiap orang yang menekuni bidang gerakan amal tarbawi islam pasti akan melihat fenomena jatuhnya sebahagian orang dan surutnya sebahagian yang lain dari mereka.

Engkau melihat seorang dai yang bergabung dengan para dai lainnya. Pada awal mulanya engkau mengira bahawa ia akan teguh dalam pendiriannya. Akan tetapi di tengah jalan ternyata dia mengecewakan harapanmu, kerana terbentur oleh faktor yang menakutkannya atau tergoda oleh hal-hal yang memperdayainya atau terjerat oleh bisikan hawa nafsu dan kesenangannya. – Ar Raqaiq

Bukan sahaja dengan lisanku, bahkan aku membacanya dengan getar hatiku. Mereka yang teliti pasti akan merasai aku membacanya dalam kesedihan.

Penuh kesedihan…

Seakan-akan telah hilang sesuatu yang sangat berharga dalam hidupku. Ku cuba menggapainya, namun masih belum mampu sehingga kini.

Akan terus kubacakan petikan ini untuk para duat baru dan lama, agar kita saling memperingati. Jalan ini perlu dilalui dengan keikhlasan yang bermula dari kefahaman. Membuang segala kepentingan diri dan nafsu.

Jalan yang benar sentiasa akan digegar dan digoncang. Pasti ada ujian satu persatu yang mendatang. Di kala diuji, maka akan datanglah syaitan kiri dan kanan. Baik berupa manusia dan jin. Mula fikiran dan jiwa kita berbolak-balik… bahkan ada da’i yang sudah mula mempersoalkan…

“Apakah benar jalan yang ku lalui ini?”
“Wangku sudah habis untuk ini semua. Berbaloikah? Berikan aku rehat”
“Masaku sudah habis untuk ini semua. Bolehkah lapangkan sedikit masaku..”
“Keluargaku…pasangan yang ingin ku kahwini.. sampai bila harus ku tangguh?”
“Pelajaran dia meningkat kerana dia bersosial dengan semua orang, tidak memilih jantina seperti kita!”

Bukan tidakku kasihan melihat da’i yang diuji, dihimpit dengan pelbagai kesusahan…

Jiwaku turut menanggung kesedihan.
Kudratku akan cuba ku sumbangkan untuk menanggung mas’uliyah yang ada.
Doaku pasti tidak melupakan kita yang bekerja siang dan malam.

Dan pasti perkara ini yang selalu dilakukan oleh setiap KITA. Memberi hak-hak ukhwah, walaupun saling tidak mengenali dan tidak pernah bertegur sapa. Tetapi saling memperingati dan mendoakan pagi dan petang.

Bukan kita tidak kasihan dan tidak peduli.
Tetapi ada sesuatu yang perlu kita teliti.
Nabi dan penggerak dakwah terdahulu juga diuji.
Malah lebih hebat dari yang kita lalui.

Medan seruannya begitu meluas dan melangkau segala sempadan.

Namun 23 tahun kenabian, adalah tahun yang cukup gemilang. Sudah mampu mengasaskan daulah. Sudah mampu menjalankan segala sistem islam. Sudah mampu memeranjatkan musyrikin Mekah selepas utusan islam meminta empayar Parsi dan Rom memenuhi tuntutan kita… sesuatu yang sebelum ini difikirkan amat mustahil mampu dibuat oleh bangsa Arab.

Bagaimana pula dengan 23 tahun kita? Masih lemah dan perlahan. Sedangkan kita tidak bermula dari seorang. Jumlah orang islam sudah cukup ramai. Hanya perlu disedarkan dan dibentuk.

“Bagi aku masa untuk selesaikan masalah kewangan aku dulu”
“Bagi aku masa untuk selesaikan hal kahwin aku dulu”
“Bagi aku masa untuk baiki balik pelajaranku”
“Bagi aku masa untuk aku selesaikan masalah keluargaku”
“Bagi aku masa untuk aku fokus dengan kerja aku dulu’
“Bagi aku masa untuk selesaikan hal-hal rumah aku”
“Bagi aku masa untuk aku selesaikan hal anak-anak ku”

Kitakah yang berlebih-lebihan dalam mengejar cita-cita ini? Atau sebenarnya ada antara kita yang gagal menghayati sirah dan sunnatullah dakwah? Terlalu manja, padat dengan alasan dan gagal berkorban.

Nabi juga dihimpit masalah kewangan.. berpuasa dan hanya mampu berbuka dengan segelas air.

Nabi juga punya masalah keluarga… kematian zuriatnya satu persatu. Namun masih teguh dengan kerja-kerja dakwahnya.

Nabi juga mempunyai tugasan yang perlu disiapkan, bertimbun-timbun namun kerja menyampaikan seruan masih priority UTAMA.

Sampai bila kita harus memberi ruang? Sampai bila harus kita menunggu? Menunggu da’i itu selesaikan masalah keluarganya dan pulang semula ke medan. Menunggu da’i itu menyelesaikan masalah kewangannya, kemudian pulang semula ke medan.

Sampai bila kerja-kerja UTAMA ini akan tertangguh disebabkan daya tahan kita yang lemah? 23 tahun yang sepatutnya sudah mampu menggentarkan musuh islam menjadi tertangguh.

Semuanya disebabkan kita yang sering merintih “Berikan aku masa untuk aku selesaikan hal-hal peribadiku!”

Bukan tidak ku kasihan melihat duat yang diuji…

Tapi jiwaku lebih kasihan melihat nasib dakwah yang turut diuji…
Oleh para duat yang mendahulukan masalah peribadi..

Maka biarkanlah mereka tenggelam (dalam kebatilan) dan bermain-main sampai mereka menjumpai hari yang diancamkan kepada mereka – Surah Al Ma’arij, ayat 42

AH
13 Mac 2010, 4.34 pagi
Nice, France

Perluasan Tajmik Perlu Seimbang Dengan Tenaga Tarbiyah

Assalamualaikum,

Ramai orang dah membaca dan cuba menghayati maksud ayat-ayat ini. Moga ada natijahnya pada penggerak-penggerak yang akan menggempur medan-medan baru. Medan di mana kebanyakan antara kita kabur, di titik mana harus kita mulakan dahulu seruan kita ini…

Perluasan Tajmik Perlu Seimbang Dengan Tenaga Tarbiyah

Tetapi keinginan untuk menjadi ikutan dalam agama sepatutnya tidak menjadikan kita bermudah-mudah dengan sifat imaniyyah dan sifat manusiawi yang kita telah syaratkan bagi sesiapa yang hendak bergabung.

Di sepanjang perjalanan, perlu ada keselarasan dan keseimbangan di antara peluasan tajmi’ dan kemampuan tenaga taujih tarbawiyy yang kita miliki.

Satu kesilapan yang paling merbahaya bagi dakwah ialah apabila ia melakukan tajmik yang luas sebelum adanya sekumpulan da’I yang mampu mentarbiah mereka yang telah berkumpul disekelilingnya. Kumpulan da’i itu sendiri pula mesti memperuntukkan sebahagian dari waktunya untuk meneruskan tarbiyyah diri sendiri dengan ilmu dan ibadat.

Jika tidak, hati mereka akan menjadi keras setelah mereka dapat menikmati kelazatan permulaan. Apabila hati telah keras, akan hilanglah pula roh-roh ukhuwwah.

Keseimbangan ‘tawazun’ ini bukan hanya khusus untuk permulaan dakwah sahaja, bahkan mestilah mengawal tajmi’ di seluruh fasa pengembangan dakwah. Jika tidak, dakwah akan diancam bahaya yang besar.

Oleh itu perencanaan dakwah pada peringkat permulaannya tidak mampu merangkumkan seramai mungkin orang awam dan orang biasa ‘rajul syari’’, kecualilah jika kita melonggarkan syarat-syarat penggabungan.

Adalah satu kesilapan besar jika kita biarkan dakwah cuba mengutip dan beriya-iya mendapatkan ‘rajul syari’’ sebelum wujudnya kesedaran yang cukup pada mereka dan kita mempunyai bilangan tenaga tarbiyyah yang mantap. – Muntalaq

Sangat penting! Kalau dah baca berkali-kali, belum tentu faham maksud sebenar di sebaliknya. Kalau salah tafsir, boleh jadi dalil untuk membenarkan kelembapan kita pula. HuHu

AH
2 Mac 2010, 4.59 pagi
Somewhere in France

Pembahagian Kerja Yang Tidak Seimbang

Assalamualaikum,

Pengalaman generasi terdahulu memang menarik dan cukup praktikal untuk membuatkan kita bermuhasabah dan melajukan lagi gerak kerja kita…

Pembahagian kerja dengan betul kepada anggota adalah suatu perkara yang mustahak. Lantaran tanpa pengagihan yang betul, kerja tertumpu pada sekumpulan kecil anggota sahajaSedangkan ramai anggota yang tidak mempunyai kerja.

Hubungan anggota dengan gerakan makin hari makin bertambah lemah. Hubungan di antara anggota juga semakin longgar dengan masing-masing mempunyai pendapat sendiri. Mereka terpengaruh dengan tarikan-tarikan luar dan akhirnya masing-masing membuat pilihan; ada yang akan memilih jalan harakah dan ada yang memilih jalan yang lain.

Sesungguhnya kejayaan sesuatu harakah dalam memberi tugas kepada anggotanya adalah merupakan permulaan kejayaan. Sebenarnya setiap harakah mempunyai ramai tenaga. Dan pada kebiasaannya, bukan semua yang diberi tugas.

Sesuatu harakah yang mempunyai tenaga yang pelbagai mestilah menyusun program-program yang sesuai dan mampu dilaksanakan dengan sempurna.

Harakah mestilah mengetahui kecenderungan anggota-anggotanya dan menggunakan kecenderungan mereka itu untuk kepentingan islam mengikut perencanaan yang dibuat oleh harakah.

Setiap anggota harakah mestilah merasa bertanggungjawab. Ia mestilah merasakan yang ia adalah anggota yang aktif, dengan tidak mengambil kira kerja dan kedudukannya.

Pemberian tugas yang betul ialah pemberian tugas yang tidak mengenepikan mana-mana tenaga sama ada ia kecil ataupun besar.

Semua tenaga hendaklah diguankan sama seperti penggunaan batu-bata untuk pembinaan bangunan oleh jurubina yang berpengalaman yang meletakkan setiap batu-bata itu di tempat yang sesuai.

Bangunan berkenaan itu walaupun dibina dengan batu-bata yang tidak sama ukurannya, tetapi apabila siap ia menjadi sebuah bangunan yang kemas dan kuat.

Di sesetengah negeri, pemberian tugas kepada ahli hanya dibuat di peringkat awal (peringkat murid dan peringkat muda). Tetapi apabila masa berlalu dan individu (ahli) itu bertukar dari peringkat murid kepada peringkat pekerja atau bertukar dari peringkat muda ke peringkat tua (kematangan) dan terus menjadi ketua keluarga atau ketua masyarakat, maka mulalah hubungannya dengan harakah menjadi renggang.

Kerenggangan ini berlaku kerana kesibukannya dan juga kerana kesilapan harakah memilih tugas yang tidak sesuai untuknya. Kadang-kadang bukan sahaja setakat renggang tetapi memutuskan terus hubungannya dengan harakah.

Tulisan Fathi Yakan dalam judul ‘Golongan Yang Tercicir Di Sepanjang Jalan Dakwah’. Untuk difikir-fikirkan dan diterjemahkan kepada amal yang berhasil.

Alangkah indahnya kalau SEMUA antara kita sibuk dengan medan amal, selepas 2-4 jam duduk di dalam kelas-kelas mingguan kita itu.

Mari fikirkan…

Kita sudah ada medan amal atau tak? Anak-anak, dah ada medan amal? Ke disiplin dan cakap hebat di dalam liqa’ mingguan je… pastu bila dah habis, duduk melagho dengan jahiliyyah balik? Ish ish…

Kata nak capai UA, tapi kerja tak macam nak conquer dunia pun…

AH
1 Mac 2010, 3.44 pagi
Somewhere in France