Monthly Archive for October, 2009

Seorang Menyamai Seribu

Assalamualaikum,

Telah ku tulis mengenai kualiti SEORANG penggerak yang gerak kerjanya seakan-akan menyamai SERIBU orang.

Satu hari, aku menyampaikan perkara yang sama kepada sekumpulan ikhwah. Ada yang diam. Ada yang merenung tajam, seakan-akan memikirkan kebenaran hal ini. Ada juga yang melakarkan senyum sinis, mengatakan ia adalah kata-kata yang exaggerate.

Namun aku masih tetap yakin akan kebenarannya.

Apatah lagi melihat kualiti ikhwah/akhawat yang bekerja mengalahkan kerja sejumlah manusia. Kemampuannya menghasilkan output yang mengalahkan output satu katibah.

Padahal, dia juga sibuk dan mempunyai banyak tanggungjawab lain.

Bagiku ini bukannya perkara yang ganjil sekiranya kita menghayati sirah. Kerana sirah adalah perkara benar yang telah terbukti.

Siapa Abdul Rahman bin Auf sebenarnya?
Siapa dia Khalid Al-Walid?
Siapa Saad bin Abi Waqqas?

Memetik tulisan di sebuah web :

Masyarakat muslim cukup unik binaan strukturnya. Islam mendidik individu-individunya agar setiap orang daripada mereka menjadi satu unit yang lengkap lagi melengkapi. Dia seumpama batu-bata yang teguh, disusun bersama batu bata yang lain dalam binaan yang besar.

Proses ini bermula sejak pembentukan masyarakat Islam pertama di bawah petunjuk Nabawi. Antara seruan pertama Islam ialah sabda Rasul s.a.w (yang bermaksud):

“Allah memberi hidayah melalui kamu seorang lelaki lebih baik bagi kamu daripada unta Humr an-Ni’am (jenis unta yang paling tinggi nilainya)” [Muttafaq ‘alaih)

Semenjak saat itu, setiap individu daripada generasi awal Islam memikul fikrah Islamiah dan aqidah yang murni dalam pemikiran mereka, begitu juga keimanan yang mendalam dan mantap di dalam jiwa-jiwa mereka.

Sehingga ianya terserlah dalam kata-kata, tingkah laku dan gerak diam mereka. Setiap individu di kalangan mereka seolah-olah membentuk sebuah umat. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w terhadap peribadi Abu ‘Ubaidah al-Jarrah: “Dia diutuskan sebagai sebuah umat”

Khalid al-Walid di medan perang mewakili sebuah umat. Beliau bertanggungjawab melemah dan menumbangkan Rom di tanah Arab.

Abdul Rahman bin ‘Auf di dalam bidang ekonomi mewakili sebuah umat. Dialah yang berperanan memecahkan monopoli Yahudi di Madinah yang sekian lama sebelumnya menguasai kegiatan ekonomi Madinah.

‘Umar al-Khattab dalam soal keadilan mewakili sebuah umat. Lorong-lorong Madinah dijelajahinya untuk menangani permasalahan rakyat. Gabenor dan penguasa dihimpun setiap tahun untuk dikaji siasat. Perhimpunan haji saban tahun dijadikan tele-aduan umat.

Mus’ab bin ‘Umair pula dalam usaha da’wah mewakili sebuah umat. Tiada satu rumah di Madinah melainkan dimasuki sinar da’wah Islamiah dan petunjuk al-Quran.

Mu’az bin Jabal dalam soal halal haram mewakili sebuah umat. Zaid bin Thabit dalam soal hukum hakam pusaka mewakili sebuah umat. Banyak dan banyak lagi contoh individu di kalangan mereka yang sedemikian.

Benarlah kata-kata mereka yang menyifatkan:

“Suara Qa’qa’ di medan perang menyamai seribu pahlawan”. Bukankah beliau mampu menyusun kembali tentera muslimin yang kucar kacir, menaikkan semangat juang mereka, mengacau bilaukan musuh, mencari titik kelemahan mereka dan lain-lain lagi.

Setiap seorang daripada mereka hanyalah seorang individu, tetapi dengan tekad kemahuan serta amal kerja, dia seolah-olah sebuah umat, mengubah wajah sejarah dengan usahanya itu. Sebagaimana yang dikatakan:

“Amal praktik seorang lelaki di kalangan seribu lelaki lebih baik daripada kata-kata seribu lelaki kepada seorang lelaki”.

Mereka berusaha seolah-olah tiada sesiapa di sekelilingnya yang turut bekerja bersamanya. Seolah-olah dia ingin memulakan binaan Islam dengan tangannya dan menyempurnakannya dengan tulang empat keratnya.

Kesungguhan inilah yang didapati oleh ‘Umar al-Khattab di kalangan tenteranya. Beliau berkata:

“Sungguh mengkagumkan aku, panglima perang yang jika kamu melihatnya, kamu menyangkanya seorang tentera bawahan yang patuh. Mengkagumkan aku juga, tentera bawahan yang jika kamu menyaksikannya, kamu menyangkanya seorang panglima berkaliber”.

Lantaran ini, mereka telah merubah sejarah dunia, memimpin dan membinanya dengan baik. Tiada seorang pun di kalangan mereka yang memperkecilkan dirinya atau apa yang dilakukannya. Mereka amat memahami sabda Rasulullah s.a.w:

“Sampaikan daripada aku walaupun sepotong ayat” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari]

Amal kerja dan sumbangan mereka tidak terhenti di satu tahap, bahkan ke penghujung nafas yang terakhir. Lihatlah Abu Ayyub al-Ansori yang mati syahid di pinggir pagar kota Konstantinople dalam usianya 80 tahun.

Pada saat kematiannya, dia tidak menghentikan sumbangannya kepada Islam, bahkan menyampaikan kepada muslimin sebuah hadis yang pernah didengarnya daripada Nabi s.a.w:

“Sekiranya Kiamat berlaku sedangkan di tangan salah seorang daripada kamu anak pokok, maka tanamkanlah ia” [Diriwayatkan oleh Ahmad]

Nilai dan sikap ini satu fenomena biasa di dalam masyarakat muslim pada sepanjang zaman. Setiap individunya menjadi batu-bata kepada binaan Islam yang agung. Mereka saling memperkukuhkan yang lain dalam segenap bidang dan lapangan. Hasil usaha mereka yang gigih, sesiapa yang melihat binaan Islam akan berkata:

Alangkah indahnya! Alangkah hebatnya Islam! Dengan penuh tawadhu’ dan ikhlas, mereka tidak rela diri mereka hidup dengan kehidupan haiwan yang didambakan oleh mereka yang kufur kepada Allah.

“Dan orang-orang yang kafir berseronok dan makan seperti binatang ternakan makan. Nerakalah tempat mereka” [Muhammad: 12]

Mereka tidak akan duduk berpeluk tubuh melihat sekeliling tanpa melakukan sesuatu. Akan tetapi mereka mengangkat slogan Nabi s.a.w:

“Orang mukmin kepada mukmin yang lain seperti satu binaan yang saling kuat menguat satu sama lain” [Muttafaq ‘alaih]

Lantaran itu kita dapat lihat Ibnu al-Haitham, Ibnu al-Nafis dan Ibnu Rusyd saling lengkap melengkapi kepakaran mereka. Setiap seorang daripada mereka saling menguatkan yang lain untuk meninggikan binaan Islam.

Akan tetapi pada zaman yang semakin kabur ghayah, bercampur aduknya visi hidup serta bersimpang siurnya misi masyarakat, pada saat yang sama binaan Islam semakin goyah dan rapuh, siapakah yang ingin mewakili umat mengembalikan binaannya yang agung?

Siapakah yang akan mewakili umat mengembalikan manusia kepada Tuhannya, memerdekakan mereka daripada belenggu syahwat, hawa dan material?

Siapakah yang akan mewakili umat menyelamatkan mereka daripada kejahilan?

Siapakah yang akan mewakili umat mempamer keindahan kesyumulan Islam dan membongkar wajah hodoh sekular? siapakah yang akan mewakili umat mengembali martabat syari’at serta menumbang kezaliman hukum manusia? Siapakah yang akan mewakili umat menyekat ancaman serangan Zionis dan Salibi Antarabangsa?

Siapakah yang akan mewakili umat memecah monopoli Yahudi dan US, menyediakan barangan alternative kepada barangan mereka?

Siapa? Siapa? Siapa?

Pastikan kita!

Pastinya di zaman ini masih ada mereka yang menjadi benteng terakhir islam di saat umat di’tarbiyah’ dengan jahiliyyah setiap masa di setiap tempat.

Bilangannya tidak ramai tetapi kualitinya yang meramaikan jumlahnya itu.

AH
23 Oktober 2009, 1.19 tengahari
Somewhere in France

Sirah Kontemporari – Umar Mokhtar

Assalamualaikum,

Umar Mukhtar, seorang guru sekolah di Libya yang tiba-tiba sahaja menjadi panglima perang di kala usianya telah lanjut akibat dari penjajahan Itali di bumi Islam pada waktu itu.

Berperang selama 20 tahun (1912-1931). Menggunakan kuda dan senapang menentang kapal terbang, kereta kebal, kereta perisai, artileri dan kelengkapan canggih lain pada masa itu.

Strategi Umar Mukhtar telah memeningkan kepala jeneral-jeneral perang Itali pada ketika itu, sehingga berlaku banyak pertukaran dari tahun ke tahun.

Kisah Umar Mukhtar dan mujahidin Libya digambarkan dengan baik di dalam filem oleh Moustapha Akkad.

Umar Mukhtar Movie Playlist 1-16

Dari mana datangnya askar-askar yang menyerah diri kepada Umar Mukhtar untuk turut serta melawan penjajah Itali pada ketika itu?

Tarbiyah.

AH
21 Oktober 2009, 8.03 pagi
Somewhere in France

Tujuan UTAMA Kita

Assalamualaikum,

Bismillah…

Aku mulakan tulisan kali ini dengan nama ALLAH. Sebagai memperingati diri kita semua bahawa Allah lah yang menjadi ilah kita. Allah lah tujuan utama kita hidup di dunia ini.

Tujuan utama?

Ya, segala yang lainnya boleh sahaja terpadam begitu sahaja andai redha ALLAh yang menjadi gadaian.Ataupun ada yang lebih baik untuk mengejar redha-Nya.

Redha setinggi-tinggi redha.

Maka itulah yang dibuat oleh Abu Bakar ketika mengejar redha. Boleh sahaja hartanya itu diinfaqkan 15%, 50%, 75% untuk mengejar redha ALLAH… tetapi yang dipilihnya ialah mengejar redha tahap tertinggi – 100%.

Allah cinta utama kita.
Allah adalah objektif seruan kita.

Bagaimana dengan yang lain? Cinta kita pada ibu bapa kita? Sanak saudara kita? Isteri dan anak-anak kita? Harta kita? Diri sendiri?

Maka ALLAH mengajarkan kita :

Katakanlah: “Jika bapa-bapaanak-anaksaudara-saudaraisteri-isteri, kaum keluargamuharta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik. – At Taubah, ayat 24

Sirah telah menggambarkan kita akan pengorbanan yang sangat dahsyat yang dilakukan oleh para sahabat ketika menghadapi konflik cinta.

Konflik memilih priority dalam bercinta.

Lihat sahaja Mus’ab bin Umair, seorang bangsawan yang sangat kaya. Ibunya tidak meredhai cintanya pada ALLAH. Lantaran itu, kekayaannya ditarik.

Mus’ab redha. Memilih cintanya pada ALLAH melebihi segala-galanya.

Saad bin Abi Waqqas….

Seorang yang sangat mencintai ibunya sebelum memeluk islam. Namun Saad diuji. Antara cinta pada ibunya atau cintanya pada Allah dan rasul-Nya.

Ibunya bermasam muka dan nekad untuk tidak makan sehinggalah Saad kembali ke agama sebelumnya. Hari ke hari, Saad memujuk ibunya untuk makan, tetapi ibunya masih berdegil.

“Aku tidak akan makan sehinggalah kau kembali kepada agama asal kita”, kata ibunya.

Hari ke hari, ibunya masih nekad. Tapi kenekadan Saad akan cintanya pada ALLAH mengatasi segala-galanya.

“Sekiranya mak mempunyai 1000 nyawa, dan nyawa itu ditarik satu persatu di hadapanku, aku tetap akan memilih islam sebagai agamaku”, kata Saad.

Begitulah dua sahabat menunjukkan qudwah terbaik pada kita berkenaan meletakkan priority cinta kita. Cinta kepada ALLAH.

Fikrah ini yang membentuk cara hidup kita, tindakan kita dan cara kita berfikir. Segala keputusan yang kita lakukan hendaklah berdasarkan kefahaman meletakkan cinta kepada ALLAH melebihi dari cinta kepada yang lain.

Adakalanya aku terfikir…

Berapa ramai antara kita yang berubah serta-merta lantaran cintanya pada pasangan yang ingin dikahwininya?

Menjaga kesihatan seakan-akan telah ditimpa sakit yang kronik.
Tabiat yang buruk cuba dibuang biarpun sudah sebati dalam diri.
Segala-galanya cuba diberikan yang terbaik. Biarpun tidak diminta.

TERBAIK! Seperti ingin mengejar tahap setinggi-tinggi redha yang ku ungkapkan di awal-awal tadi.

Sekarang, berapa ramai di antara kita yang berubah selepas mengenal dan mencintai ALLAH? Benar, kalau ditanya, boleh saja kita mengungkapkan akan berapa dalamnya cinta kita kepada ALLAH.

Tapi di mana buktinya pada perbuatan kita?

Keputusan penting dalam hidup kita sering membelakangi dan tidak selari dengan tuntutan seruan kita ini. Tidak seperti ingin mengejar setinggi-tinggi redha. Bahkan lebih dahsyat, seakan-akan telah melakukan syirik kecil kerana ada benda yang lebih didahulukan berbanding ALLAH.

Kebatasan atau kemampuan diri kita seringkali menghalang perjalanan seruan ini. Penat, banyak kerja, sibuk, tidak ada duit, tak dapat datang atas ’sebab-sebab tertentu’, etc…

Marilah kita fikirkan antara dua kes ini…

Jika si isteri yang memanggil pada pukul 3 pagi di saat kita sedang bekerja di pejabat kerana mengadu sakit, adakah kita akan segera pulang mendapatkannya dengan keadaan risau dan simpati?

Bagaimana si murabbi pula yang memanggil pada pukul 3 pagi di saat kita sedang sibuk bekerja di pejabat, meminta merawat pohon dakwah yang sedang sakit? Adakah kita akan terus menerima panggilan itu? Redhakah kita?

Bukan sahaja redha pada lisan dan perbuatan, malah redha pada hati. Seperti mana redhanya hati kita ketika menyahut panggilan si isteri.

Siapa sebenarnya tujuan utama kita? Di mana priority cinta kita kepada ALLAH yang mengatasi segala-galanya?

Bukan kita tidak sayang, tetapi cinta kepada ALLAH mengatasi segala-galanya.

AH
12 Oktober 2009, 9.47 pagi
Somewhere in France

Tadabbur Dengan Pencuri

Assalamualaikum,

Sabtu lepas, satu-satunya basikal di rumah kami dicuri di hadapan masjid pada waktu solat Zohor.

Taklah terasa sangat kehilangan. Sebab dah biasa sangat mengalami kejadian kecurian ni dalam hidup.

Dalam hati, minta-minta ALLAH pertemukan dengan si pencuri bersama basikalnya esok hari.

Esoknya, sewaktu berjalan ingin solat Zohor, terjumpa satu basikal serupa macam basikal kami. Tengok 2,3 kali, hmm memang sah ni basikalnya.

Tak puas hati, panggil pula seorang kawan.

“Betulkan ni basikal kita?”, tanyaku.

“Aah betul lah. So macam mana ni?”, jawabnya.

Tak tahu nak buat macam mana. Sebab yang tengah naik basikal tu seorang budak kecil. Dalam lingkungan 6-8 tahun mungkin. Kalau ikutkan kekuatan, boleh je ketuk kepala budak tu, pastu rampas basikal tu.

“Hmm, takpelah. Kita gi solat dulu” katanya.

Selesai solat, sewaktu di rumah, 2 orang kawan lagi bercerita perkara yang sama.

“Eh, rupa-rupanya budak kecil yang curi basikal kita”, kata X.

“Aah, pastu kau buat apa?”, kataku.

“Aku tanya dia, dia beli dekat mana basikal ni. Dia kata dia tak tahu, tapi dia kata dia punya.”, kata X.

“Lagi?”, kataku.

“Pastu aku cakap, lagi baik jangan tipu. Betul ke basikal ni kau punya? Budak tu siap cakap WALLAHHI 2 kali. Pastu aku cakap, jangan cakap WALLAHHI lagi, kalau tak aku tampar”, kata X.

“Ok, lepas tu”, kataku.

“Lepastu aku pun tak tahu macamana nak ambil basikal tu. Takkan nak rampas je dari budak tu. Takpelah, aku halalkan je”, kata X.

Lantas aku berfikir…

Oh, alangkah indahnya akhlak si X, kawan serumahku. Sangat sensitif bila orang menipu dengan nama ALLAH.

Bukan itu sahaja…

Memaafkan si pencuri hartanya. Dengan redha, senyum dan langsung tidak mengungkit-ngungkit selepasnya.

Indahnya kalau sifat ini dapat kita adaptasi dalam lingkungan kita. Berlapang dada tahap maksimum!

Andaikan sahaja sang ikhwah yang mencuri wang kita, tapi kita memaafkannya. Andaikan sahaja sang ikhwah yang menipu kita, tapi kita memaafkannya.

Tapi adakah ikhwah yang mencuri dan menipu? Jarang-jarang dijumpai.

Selalunya punca ketidakpuashatian tidaklah seserius contoh yang ku berikan. Namun terus diungkit-ungkit. Diperbesarkan. Dijauhkan dirinya dari ikhwah tersebut.

Belajarlah dari realiti akhlak si X dengan pencuri.

Pada waktu Asarnya, keluar dari masjid ternampak kelibat budak kecil tadi bermain-main dengan basikal itu di luar masjid dengan riangnya, tanpa rasa takut-takut atau bersalah. Betul-betul di tempat basikal kami dicuri.

“HeHe, dia tak sedar kot dia mencuri”, kataku seorang diri.

AH
5 Oktober 2009, 3.21 petang
Nice, France

Kita Pernah Menguasai 2/3 Dunia?

Assalamualaikum,

Bukankah dahulu kita hebat?

Dengan jumlah yang kecil, mampu mengalahkan jumlah yang besar. Lalu kelompok kita berkembang meluas ke seluruh pelusuk dunia.

Arab itu kelompok kita.
Afrika itu kelompok kita.
India itu kelompok kita.
China itu kelompok kita.
Asia itu kelompok kita.
Barat itu juga kelompok kita.

Tapi di mana kelompok KITA sekarang?

KITA yang dahulunya menguasai 2/3 dunia.
KITA yang dahulunya berbangga dengan kualiti kelompok kita.
KITA yang dahulunya berbangga dengan semangat kelompok kita.
KITA yang dahulunya berbangga dengan teknologi kelompok kita.
KITA yang dahulunya menjadi rujukan dunia. Ustaz kepada alam ini.

Kita sekarang adakah seperti KITA? Masih adakah KITA di zaman ini?

Jawapannya… ADA!

Siapa?

Jawapannya… PRODUK-PRODUK TARBIYAH.

Di mana?

Jawapannya… DI KILANG-KILANG TARBIYAH.

Pemprosesan yang pesat. Seluruh dunia! 24 jam! Jumlahnya kecil, namun kekuatannya cukup hebat. Sehebat KITA pada zaman dahulu.

KITA di Gaza telah membuktikannya Disember 2008 – Januari 2009 yang lalu.

AH
3 Oktober 2009, 3.49 pagi
Nice, France

Itqan – Bersungguh-sungguh

Assalamualaikum,

Qaradawi pun dah mengamuk-ngamuk ni bila tengok cara kita bekerja.

Itqan, itu yang nabi ajar.
Itqan, bersungguh-sungguh.
Itqan, professional dan teliti.

Takziah kepada Hussaini atas pemergian ibunya. Semoga dia beroleh syurga, engkau beroleh tsabat.

AH
1 Oktober 2009, 11.55 pagi
Nice, France