Monthly Archive for September, 2009

Unlimited Harta

Assalamualaikum,

Semua boleh jadi ibadah,
Mula bangun tidur hingga tidur semula,
Yang penting…
Niat dan syar’i (ada background lagu wonderpet)

Tapi dalam ibadah kita kena tamak,
Tamak nak pahala sebanyak mungkin,

Kenapa?

Sebab kita nak redha ALLAH,
Sebab kita nak Allah sayang kita,
Sebab kita nak jannah ALLAH,

Belum tentu apa yang kita buat Allah terima,
Jadi kena buat banyak-banyak…
Banyak macam gunung! (HeHe. Gunung banyak kot)

Camna nak tamak ibadah?
Masa 24 jam…=(

Hmm…

Camna orang tamak harta?
Setiap masa fikir jana duit,
Setiap masa fikir macam mana nak cari untung.
Setiap masa cari jalan efisien.
Sikit input banyak output!
Efisien!

Ya, kita kena efisien,
Biar setiap amalan ibadah kita dapat pahala berganda. (macam bisnes MLM)
Biar lepas mati pun meter pahala terus jalan!
Wah! Bestnyer meter pahala jalan lepas mati!

Tapi macam mana?

Hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud :
“Apabila mati seorang anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara;

1. Sedekah jariah yang berterusan,
2. Ilmu yang bermanfaat
3. Anak soleh yang mendoakannya.”
(Riwayat Bukhari)

Segalanya melibatkan hubungan kita dan insan lain.

Mendidik setiap insan untuk makin hampir dengan penciptaNya,
Mendidik insan untuk terus memberi ikhlas,
Mendidik setiap insan yang akan mendidik insan lain untuk menyambung, amalnya…

Kerja kita membina manusia…
Kerja yang tidak pernah henti…

Sejak dulu..

Dan tidak akan pernah henti..
Kerja turun-temurun para rasul…

=)

Adik-adikku,
Kerjalah,
Kerja ini mulia.. (41:33)

Walau apa orang kata,
Walau bagaimana orang pandang,
Yakinlah.

Allah bersama kita…

Kerja ini untuk semua,
Tapi tak ramai sedar,
Tapi tak ramai tahu,
Tapi tak ramai yang Allah pilih utk tahu dan sedar,

Nikmatnya besar.
Tunjuklah kita bersyukur.
Kerja sekuat mungkin.

Salam sayang dalam perjuangan,
Moga beroleh SYAHID!

=D

Edited by me
Sumber asal : Akram

AH
30 September  2009,  2.19 petang
Nice, France

Takwin : Memberi Medan Amal

Assalamualaikum,

Kita tidak akan banyak belajar selagi kita hanya duduk di dalam kelas teori semata-mata. Perjumpaan mingguan itu hanya teori jika mereka yang duduk di dalamnya keluar tanpa amal.

Adakalanya kita tidak yakin mereka yang berada di bawah tanggungjawab kita mampu melakukan tugasan yang diberikan dengan sempurna, seperti yang kita kehendaki.

Namun, isu utama di sini ialah memberinya medan amal. Silap mereka di dalam beramal adalah disebabkan kurang pengalaman. Itu adalah sebahagian dari latihan.

Apa yang penting ialah kita menunjukkan caranya kepada mereka secara praktikal dan sentiasa menyuruh mereka bermuhasabah setiap kali satu-satu amal itu selesai.

Satu kesilapan besar ialah dengan mengharapkan seseorang itu beramal sedangkan kita tidak memberikannya medan khas yang sesuai untuknya berlatih.

Jika dimuhasabah kembali, kita adalah produk dari hasil tarbiyah sebegini.

Dibiarkan susah menghadapi medan masing-masing dan banyak melakukan kesilapan setiap kali turun ke medan amal. Hasil muhasabah dan pengalaman yang banyak mengajar kita cara bekerja yang diinginkan untuk memperoleh hasil yang setimpal.

AH
28 September  2009,  11.42 malam
Nice, France

Al-Akh Mujahid

Assalamualaikum,

Aku membayangkan al-mujahid itu sebagai seorang pemuda yang sentiasa membuat persiapan, menyediakan bekalan, berupaya menguasai fikiran yang memenuhi setiap sudut jiwa dan segenap jurusan hatinya.

Dia sentiasa berfikir dan menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap persiapan yang terus-menerus. Apabila diseru dia menyahut. Apabila dipanggil dia menjawab.

Pulang dan perginya, perkataan dan bicaranya, kesungguhan dan gurauannya tidak melampaui bidang yang disediakan untuknya. Dia tidak mengambil tugas selain daripada yang telah dituntut ke atasnya.

Dia berjihad di jalanNya. Kamu dapat membaca dari garis wajahnya, melihat pada kilauan matanya dan mendengar pada gerakan lidahnya segala yang bergelora dalam hatinya berupa hawa yang melekat, kesakitan yang terpendam, keazaman yang benar, kesungguhan, cita-cita yang tinggi dan matlamat yang jauh sentiasa memenuhi jiwanya….” – As-Syahid Imam Hassan al-Banna

AH
27 September  2009,  12.45 pagi
Nice, France

Takwin : Back To Basic

Assalamualaikum,

Sebenarnya, masalah-masalah utama lingkungan kita ialah perkara-perkara asas yang masih tidak difahamidan tidak diamalkan oleh ahli-ahlinya.

1. Niat.
2. Akhlak.
3. Amal fardi (hubungan dengan ALLAH).

Itu sahaja.

Bukannya masalah kita ingin menguruskan negara. Mahupun masalah seseorang itu tidak menguasai teori-teori ekonomi, mekanikal, elektrikal, fizik yang rumit.

Kerana akar masalahnya ialah perkara-perkara asas yang masih belum selesai pada individu di dalam lingkungan kita ini.

Mereka yang berpengalaman ditindas, dipenjara, dihina dan dicaci seorang diri di dalam penjara, akan seringkali mengingatkan kita supaya seringkali membetulkan niat kita.

Kerana niat kita adalah lintasan hati yang berlaku secara spontan. Adakalanya lintasan itu bersifat al-hawa, adakalanya lintasan wahyu (islam).

Jadi perlunya kita berjaga-jaga dengan setiap lintasan hati ini. Jika ia terpesong ke arah nafsu, halakan semula ia ke islam.

Mereka yang merungut-rungut apabila dipanggil, diberi tugasan yang ringan mahupun yang berat, di kala dia lapang ataupun sesak, bagiku ini adalah masalah niat.

Jika hidupnya diniatkan 100% hanya kerana ALLAH, maka sudah tentu setiap kerja yang bersangkut-paut dengannya akan diterima dengan rela.

Jika dia menerimanya dalam keadaan susah, maka sabar adalah penawarnya.

Tugasannya tetap disiapkan walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Bukankah setiap hari kita sentiasa mengulang-ulang perkataan ini di dalam solat kita? :

“Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah kerana ALLAH, TUHAN sekalian alam”

Ada sahaja individu yang cukup baik di hadapan para ikhwah di sekelilingnya. Tetapi apabila pulang ke rumah, cukup ego dan sombong dalam menerima nasihat atau pandangan isterinya.

Lebih malang lagi, jika dia sendiri tidak menyedari akan kesilapannya itu. Jauh sekali untuk bermujahadah untuk melawan sikap jahiliyyahnya itu.

Ini masalah akhlak! Tidak faham akhlak islam.

Masalah-masalah yang berlaku di setiap medan itu pula sering berkait dengan amal fardi pembawa seruannya. Siapa lagi kalau bukan kita?

Bagaimana ingin kita membawa orang ke islam yang syumul sedangkan hidup kita sendiri tidak dikelilingi oleh islam itu? Bukankah setiap mad’u itu akan mengikut acuan murabbinya?

Jika murabbinya kedekut untuk menginfaqkan hartanya, lupakan sahaja memperoleh mutarabbi yang pemurah.

Jika murabbinya seringkali malas-malas/melengah-lengahkan menghadiri perkumpulan mingguan wajib untuknya, lupakan sahaja memperoleh mutarabbi yang sentiasa berdisiplin datang bertemu dengannya.

Jika murabbinya hidup dalam keadaan dirinya yang jauh dari masjid mahupun solat awal waktu, lupakan sahaja memperoleh mutarabbi yang akan istiqamah di dalam solatnya di masjid.

Jika murabbinya selalu sahaja menghabiskan masa melayani perempuan tanpa apa-apa keperluan syar’i, lupakan sahaja memperoleh mutarabbi yang terjaga dari segi ikhtilatnya (perhubungan).

Jika murabbinya sering sahaja ke website-website shopping, sering sahaja berhibur di youtube, facebook dan sebagainya, lupakan sahaja memperoleh mutarabbi yang akan sentiasa memikirkan masalah umat, bertindak ke arah memperbaikinya dan siap menyusun dirinya untuk kepentingan seruan ini.

Lihatlah dirimu dulu, sebelum menuding ke arah setiap kelemahan ‘mutarabbi’mu.

Kerana mutarabbi sebelum ‘mutarabbi’ ialah dirimu sendiri.

Kerana dirimulah pusat lahirnya kelemahan ‘mutarabbi’mu. Engkaulah yang menyebarkan virus lemahnya ‘mutarabbi’mu.

Niat yang terpesong, akhlak yang buruk, amal yang kurang. Itulah masalah kita, para penggerak seruan ini.

Pernahkah kita terfikir…

Jika penggeraknya sebegini, bagaimana pula pengikutnya? Astaghfirullah.

AH
22 September  2009,  12.13 tengah malam
Nice, France

Tentera Fikrah Dan Aqidah

Asssalamualaikum,

“Tentera fikrah dan aqidah”, begitulah ungkapan yang dikeluarkan oleh seorang mujaddid kurun ke-20 bagi menggambarkan kita sebagai penggerak-penggerak utama seruan ini.

Fikrah kita yang membuatkan kita bekerja secara selaras dan bersistem. Di setiap pelusuk dunia. Di bawahsatu manhaj.

Aqidah kita tunjang utama, bahawa kita bekerja ikhlas kerana ALLAH.

Jika kita bekerja kerana pimpinan kita, maka jadilah kita “tentera individu tertentu”.

Jika kita bekerja untuk memperoleh pangkat atau harta, maka jadilah kita “tentera hawa nafsu”.

Fikrah dan aqidah kita tetap. Tidak berubah. Di situlah asas kepada kekuatan kita.

Hawa nafsu atau kehendak seseorang itu akan berubah-rubah mengikut masa, tempat dan sebagainya. Manusia akan mati dan tampuk kuasa akan bertukar tangan.

Tetapi fikrah dan aqidah kita akan tetap. Walau siapapun yang memimpin angkatan ini.

Apabila kita menjadi tentera fikrah dan aqidah, kita faham yang setiap arahan itu dibuat atas dasar kesesuaian fikrah dan aqidah yang kita imani di dalam perjalanan ini.

Fahamlah kita, di dalam jalan ini, tidak boleh kita melakukan sesuka hati. Setiap perkara harus diteliti supaya sesuai dengan fikrah dan aqidah kita. Setiap perkara! Semuanya! Tiada pengecualian.

Kerana barisan ini adalah barisan yang terpelihara kualiti setiap batu-batu binaannya dan juga cara penyusunan yang membentuk satu bangunan yang kukuh dan teguh.

Tidak boleh dirobohkan dengan apa jua kuasa di muka bumi ini. Kerana tentera fikrah dan aqidah dilindungi dengan hebatnya oleh ALLAH Yang Maha Gagah.

“Shibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya daripada Allah?” – Al-Baqarah, ayat 183

Jadilah kita tentera fikrah dan aqidah. Itulah tentera, sehebat-hebat tentera.

AH
14 September  2009,  2.20 pagi
Somewhere in France

Bermusafir

Assalamualaikum,

Seakan-akan ada satu perasaan lain yang wujud apabila kita bermusafir.

Kediaman kita yang selesa ditinggalkan, hal-hal kerja kita ‘dilupakan’ sementara waktu, fikiran menjadi lebih tenang. Lebih mudah untuk kita bermuhasabah diri secara spontan untuk memikirkan kembali cara kita melangkah di atas jalan ini.

Kenikmatan bermusafir seakan-akan “rehat” yang diberikan oleh ALLAH seketika. Rehat yang penting supaya selepas ini kita melangkah dengan lebih pantas dan fokus pada matlamat asal. Orang putih kata, sharpen the saw. =p

Mungkin ini salah satu sebab mengapa mereka yang mengikuti jemaah tabligh digalakkan keluar bermusafir pada sekian-sekian waktu.

Rasa kebergantungan kita dengan ALLAH (tahap tawakal) kita juga meningkat. Tidak seperti ketika kita selesa di tempat kita sendiri. Zon yang adakalanya membuatkan kita lupa kepada pelindung sebenar diri seorang mukmin.

Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung-pelindung selain Allah adalah seperti labah-labah yang membuat rumah. Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah kalau mereka mengetahui. – Al-Ankabut, ayat 41

Begitulah juga kita di jalan ini.

Adakalanya kita lupa yang syarat utama kemenangan itu ialah hubungan kita dengan ALLAH. Lantas, selalu kita mengurang-ngurangkan amal kita atas alasan sibuk belajar, kerja, DF, berprogram dan sebagainya.

Selalunya kuantiti lingkungan kita yang akan paling merisaukan diri kita. Di saat melihat seorang demi seorang “gugur” sebelum syahid, kita berasa lemah semangat a.k.a “down”.

Bukankah kita telah diberi pengajaran dari peristiwa Hunain? Di mana 12000 tentera muslimin yang menentang 10000 musyrikin pada ketika itu mengalami kekalahan di awal-awal peperangan?

Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai para mukminin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, yaitu di waktu kamu menjadi bangga karena banyaknya jumlahmu, maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikit pun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai. – At-Taubah, ayat 25

Hanya mereka yang masih berpegang teguh dan percaya 100% ALLAH adalah sebaik-sebaik pelindung yang masih terus bertempur bersama dengan Rasulullah s.a.w yang membuatkan tentera islam pada ketika itu mencapai kemenangan.

Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan bala tentara yang kamu tiada melihatnya, dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang yang kafir, dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang yang kafir. – At-Taubah, ayat 25

Begitu juga ketika Abu Bakar menjadi khalifah dan ingin menyelesaikan masalah nabi palsu dan golongan yang berpaling.

Wujud mereka yang pada ketika itu tidak meyakini ALLAH adalah sebaik-baik pelindung ketika melihat golongan musuh lebih ramai jumlahnya. Namun Abu Bakar tetap teguh untuk berdepan dengan musuh walaupun terpaksa berhadapan seorang diri.

Begitu juga ketika Khalid Al-Walid di dalam peristiwa Yarmuk. Hanya berbekalkan 40 000 tentera, beliau terpaksa berhadapan dengan 240 000 tentera Rom pada waktu itu. Jika tidak mempunyai aqidah yang kuat, sudah tentu tentera islam pada waktu itu akan berpatah balik sahaja ke belakang melihat jumlah tenaga musuh yang banyak.

Nah sekarang…

Jiwa kita adakah seteguh Abu Bakar apabila berhadapan dengan pelbagai masalah di dalam lingkungan kita sendiri?

Keteguhan dan keperkasaan gerak kerja kita adakah seteguh Khalid Al-Walid apabila ditentang sebegitu hebat?

Kembali kepada konsep asal, kemenangan itu hanya datang dari ALLAH. Asal sahaja kita patuh pada suruhan-Nya, pasti kita beroleh kemenangan.

Biarpun jumlah mereka yang masih tsabat di jalan ini berkurang ataupun bertambah.

Biarpun musuh berkumpul dan menyerang dari semua arah.

Biarpun kelengkapan kita serba kekurangan dan “asal ada” sahaja.

Begitulah kepercayaan dan aqidah kita.

Begitulah kita, pembela-pembela agama ALLAH.

AH
11 September  2009,  6.54 pagi
Somewhere in France

Priority Bekerja

Assalamualaikum,

Dulu kita golongan yang tidak bekerja. Tidak memberi apa-apa sumbangan kepada orang lain.

Lantas kita tersedar, lalu kita menjadi golongan yang bekerja. Masa kita telah dicuri oleh orang lain untuk kemaslahatan umat ini.

Dalam sibuk bekerja, telah kita kecapi nikmat bekerja di jalan ini. Lalu seakan-akan kita tidak ingin keluar dari pekerjaan kita ini. Masa yang ada kalau boleh hendak dihabiskan 100% pada kerja-kerja ini.

Hari ke hari…

Kerja semakin banyak.

Tanggungjawab semakin bertambah.

Masa yang ada masih tetap dan tidak berubah.

Sedangkan kerja dan tanggungjawab terus menerus mendatangi kita. Maka pentinglah kita bekerja mengikut priority. Yang diutamakan perlu didahulukan.

Walaupun nikmat atau kesukaan kita adalah pada melakukan kerja yang lain.

Salah satu cara syaitan menyesatkan kita adalah dengan membuatkan kita bekerja tidak mengikut priority.

Misalnya, kita mungkin begitu asyik memberi taujih dan memantau mereka yang berada di bawah tanggungjawab kita, sedangkan kita lupa memantau dan mengisi jiwa kita sendiri.

Telah berfirman ALLAH di dalam Al-Quran :

Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedang kamu melupakan diri (kewajiban) mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berpikir? – Al-Baqarah, ayat 44

Peringatan untuk diri sendiri.

AH
9 September  2009,  7.31 pagi
Nice, France