Monthly Archive for August, 2009

Pernahkah Usaha Kita Sedahsyat Ini?

Assalamualaikum,

Ada bacaan yang sangat penting untuk pembaca sekalian. Selamat bermuhasabah diri!

Dipetik dari Hussaini :

Kiri dan kananku kini, ikhwah seusia denganku sedang sibuk dengan persiapan perkahwinan mereka. Tidak kurang pula yang sedang melalui proses diperkenankan dengan bakal pasangan.

Di ruangan blog dan kumpulan email, isu ini juga masih hangat, sedang hangat, dan semakin hangat diperkatakan. Sesuai pada pengamatanku kini untuk aku berkongsi apa yang aku rasakan.

Ikhwah, mungkin kaca mataku lebih terarah ke sana.

Bak kata-kata terkenal itu, pengakhiran yang baik adalah hasil daripada permulaan yang baik. Dan benarlah ayat Allah dalam Surah Ibrahim ayat 24.

Sesungguhnya akidah, niat kerana-Nya itulah ikatan yang paling kukuh yang akan memelihara rumah tangga ini. Semua bermula kerana Allah. Agar rumah tangga ini terpandu dengan manhajNya.

Apa yang berlaku?

Bukan main sibuk ku lihat tokoh-tokoh yang menguruskan BM (TKB) ini melayan ikhwah-ikhwah yang memerlukan pertolongan mereka. Membujuk. Mencadang. Memberi panduan.

Dan ikhwah-ikhwah ini tidak putus asa berbincang sesama mereka apa yang terbaik untuk keluarga yang bakal dibentuk itu.

Borang-borang diperkemas, bertukar pendapat agar memberikan impresi yang terbaik kepada sang akhwatnya. Tidak cukup dengan itu, TKB dan sang Murobbi sentiasa menjadi tempat rujukan agar tajnidul amal ini tidak mengabaikan amal-amal yang lain pula.

Sang ikhwah siang malam beristikharah dan berdoa, agar pilihan bukanlah atas hawa nafsu yang meliar. Agar tepat pilihannya, untuk membina keluarga du’at, yang bakal membumikan dakwah mereka bersama.

Tidak jarang ku dengar esakan mereka dan tangisan mereka di kala malam hari, dalam kepekatan malam, saat tubuh-tubuh lain membungkam di sebalik comforter masing-masing.

Saat sudah selesai taaruf dan beradanya mereka pada fasa khitbah, solat malam tidak pernah ditinggalkan. Istikharah habis-habisan tetap dijalankan, takutnya hati ini berbolak-balik, sedang peranannya sebagai qa’idul usrah (ketua keluarga) amat diperlukan.

Segala perancangan termaktubkan dan dibincangkan dengan pantauan TBM. Menjaga hati dengan niat tulus mulus ini. Mulalah segala pengalaman berada dalam persatuan digunakan. KPI, KRA… SP keluarga dalam jangka masa pendek, jangka masa panjang dikompilasikan bersama.

Sedar akan keperluan kewangan yang diperlukan, sang ikhwah tidak ragu-ragu untuk mengikat perutnya. Ada yang menyimpan sedikit daripada gajinya setiap bulan. Ada yang menyimpan separuh. Ada yang menyimpan hampir semua!! Semuanya untuk keluarga bayangan itu.

Terdapat cerita yang kudengar, ada ikhwah sanggup makan roti gardenia kosong dan air sahaja setiap hari untuk menyimpan tabungan!! (Al-maklum ikhwah Malaysia miskin, tak macam ikhwah oversea).

Ada ikhwah yang tidak pulang-pulang ke rumah kerna sibuk bekerja siang dan malam. Teliti sungguh perancangannya. Sambil belajar, ada kerja dan ada kerja part-time lagi!! Kehulu-kehilir mencari penempatan untuk keluarga bayangan itu di sekitar KL dan Selangor ini, bukan mudah untuk berjumpa dengan yang besar, cantik, selesa, baik jiran tetangganya dan yang paling penting: MAMPU DIMILIKI (disewa).

Pada saat-saat inilah, tidak putus-putus sang ikhwah pulang ke kampung. Sampai di rumah, segala kehendak ibu dan ayah dituruti. Pada masa inilah, sang ikhwah mula melayan karenah adik-adik. Pada saat inilah, lalang-lalang di belakang rumah ditebas, pagar dicat dan pinggan mangkuk dicuci. Pada saat inilah, ibu dan ayah menjadi teman berborak.

Jika bab bacaan jangan cakap la. Mana ikhwah yang tak kenal buku pink (Di jalan dakwah aku menikah)? Ikhwah mana yang tak habis baca lagi “Indahnya berpacaran selepas pernikahan”? Semua buku Cahadi Takariawan dikhatamnya. Tak cukup dengan itu, segala buku berunsur Nikah dan Tarbiyatul Aulad memenuhi perpustakaan peribadi mereka. Menyediakan perpustakaan peribadi itu juga sebahagian daripada usaha untuk menghidupkan biah tarbawi dalam keluarga itu.

Kes-kes halangan ibu bapa juga bukan perkara baru. Lantas kita lihat betapa bernasnya idea mereka merencana rancangan agar perkahwinan mereka berjaya. Macam-macam kes, tak perlu ana cerita.

Pokoknya:

Begitu bersungguh-sungguh Sang Ikhwah dalam usaha menggapai cita-cita.

Dakwah kita (pernah) seserius ini?

Alangkah indah wahai ikhwah akhwat sekalian,
Andai air-air mata itu menitis di jalan dakwah… T_T
Menangisi pemergian tokoh-tokoh dakwah…
Menangisi kehancuran ummah…
Menangisi dakwah kita yang tidak mustajab

Alangkah indahnya wahai ikhwah akhwat sekalian,
Andai Mas’ul kita menjadi panduan kita setiap masa, ^_^
Untuk menunjukkan kepada kita arah dan tujuan…
Untuk membimbing segala amal kita…
Bukan tempat bertaut ketika kalut nak BM sahaja…

Alangkah indahnya wahai ikhwah akhwat sekalian,
Jika kita laksanakan segala kesungguhan di atas ini,
untuk Dakwah Islami kita…

Bacaan kita, hubungan dengan kawan-kawan kita, hubungan dengan ibu dan ayah kita, kerajinan kita, ibadah kita dan segala-galanya…

Sekarang,,,

Masih adakah ikhwah yang sanggup mengikat perut dan masa rehat mereka untuk dakwah?

Atau hanya sanggup bekorban sebegitu hanya kerana perempuan idaman hati mereka…

Alangkah berjayanya Westlife, Backstreet Boys dan Five, mencipta perempuan sebagai ilah kita.

Dan yang paling penting,,,

Masih adakah ikhwah yang mahu menggunakan sepenuhnya tenaga dan pemikiran mereka untuk menarik ummah dari kelemasan ini?

Atau kita masih mahu menjadi part-timer. Yang lebih sayangkan keluarga kita.

Adakah kita akan terus begini?
Adakah kita akan terus begini?
Adakah kita akan terus begini?

“…Ya Tuhan kami, anugerahkan kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimipin bagi orang-orang yang bertaqwa”
(Furqan:74)

“Dan ketahuilah bahwa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai fitnah dan sesungguhnya di sisi Allah ada pahala yang besar”
(Al-Anfal:28)

Semoga kita lebih serius dalam kerja-kerja kita.

AH
30 Ogos 2009, 9.51 malam
Somewhere in France

Takwin – Keseimbangan Antara Ruhi Fikri Jasadi

Assalamualaikum,

Fasa pembentukan (takwin) adalah fasa yang sangat kritikal jika diteliti dengan baik. Mereka yang sudah memasuki fasa ini seharusnya tidak memanja-manjakan dirimemberi alasan yang remeh-temeh bahkan sepatutnya sudah tidak lagi membangkitkan urusan-urusan peribadi sehingga mengganggu perjalanan seruan itu sendiri.

Ibadatnya terus dilakukan melebihi dari tahap mutabaah amal yang ditetapkan. Sedih dan gusar akan melanda tatkala amalannya (meskipun amalan sunat) berkurangan sedikit berbanding sebelumnya. Resah apabila amalan wajib tidak sekhusyuk seperti yang sepatutnya.

Dirinya sering risau pada penyakit hati yang selalu dijangkiti para abid – ujub, riak, takabbur, sum’ah. Akhlaknya sentiasa dijaga dan diperbaiki dari hari ke hari.

Tahapan ukhwah sudah mencapai itsar (mengorbankan diri sendiri untuk kesenangan saudara yang lain).

Husnuzon dan berhati-hati dalam berkata-kata sudah menjadi amalan. Bukan sahaja kata-kata lisannya, malah kata hatinya dan lintasan fikirannya turut dikawal dari membuat sangkaan buruk kepada lingkungan sekelilingnya.

Tadhiyyah (pengorbanan) sudah menjadi perkara biasa. Bukan lagi perkara yang dibangkitkan atau disebut-sebut. Malah sepatutnya tadhiyyah itu sudah sebati di dalam dirinya. Tadhiyyah menjadi suatu nikmat, bukan lagi satu penyeksaan diri akibat ingin mencapai ke tahap itsar.

Tsiqah pada pemimpinnya dan apa jua keputusan yang diputuskan di dalam mesyuarat atasan. Segalanya diterima dengan penuh wala’ dan dirinya terasa seperti ingin menggerakkan perancangan yang telah dirancang. Menjadi tentera fikrah dan aqidah yang selalu berada di barisan paling hadapan dalam apa jua kerja amal.

Dirinya sentiasa bersiap sedia menerima apa jua arahan. 24 jam! Tidak kira dalam apa keadaan sekalipun. Baik ketika dia dalam keadaan senang, mahupun dalam keadaan sibuk. Baik ketika dia dalam keadaan segar, mengantuk ataupun sedang lena tidur!

Sebarang panggilan akan disahut dengan penuh taat dan berserah diri, tanpa apa-apa rasa tidak suka ataubenci atas panggilan yang diterimanya. Dirinya faham bahawa setiap panggilan itu bukanlah dibuat sewenang-wenangnya oleh individu tertentu, bahkan ini adalah panggilan seruan! Seruan yang digerakkan oleh fikrah dan aqidah itu sendiri.

Dirinya faham yang sebarang keputusan dan setiap tindakan yang akan dilakukannya perlu selari dengan tuntutan dan tanggungjawab seruannya.

Dirinya seakan telah dijual olehnya pada tuntutan dan tanggungjawab itu. Justeru, setiap keputusan akan dibawa berbincang terlebih dahulu. Biarpun urusan peribadi sekalipun. Kerana dia faham yang dirinya adalah batu-bata yang mengukuhkan satu bangunan.

Berkenaan takwin, Ar-Raqaiq mengungkapkan satu perenggan yang penting untuk difahami bagi membentuk keseimbangan di dalam fasa ini :

Sejarah jemaah menyaksikan terdapatnya ketidakseimbangan dalam takwin (pembentukan) dan tarbiah di beberapa tempat. Ada yang memberikan tumpuan yang lebih kepada sesuatu sudut tertentu dan kurang pada sudut-sudut yang lain.

Ada kawasan yang anda dapat lihat memberikan tumpuan yang lebih pada sudut ibadat dan tazkiyah jiwa. Ada kawasan lain pula memberikan tumpuan yang lebih kepada sudut fikrah, manakala di lain tempat pula melebihkan aktivisme politik semasa.

Kepelbagaian ini melahirkan kepelbagaian pembentukan.

Bagaimana dengan kita?

Adakah amalan ruhi kita mantap sehingga kita boleh digelar seperti “rahib di malam hari”?

Seruan kita, adakah selari dengan fikrah yang didukung sehingga kita boleh digelar seperti “singa di siang hari”?

Jasad kita, masihkah mampu menghasilkan output tenaga yang luar biasa? Bekalan untuk mengharungi jalan yang panjang.

Bagaimana dengan takwin diri kita dan hasil takwin kita? Adakah seimbang dari segi ruhi, fikri dan jasadi?

AH
25 Ogos 2009, 7.34 petang
Nice, France

Ahli Ibadah Yang Bermain-Main : Inikah Kita?

Assalamualaikum,

Walaupun kebelakangan ini telah banyak seruan dari da’i Islam yang mengajak orang ramai, khususnya kepada mereka yang bersembahyang (ahli
ibadat) supaya bekerjasama dan menolong da’i Islam dalam kerja-kerja amar
makruf, nahi mungkar ini, namun begitu sebahagian besar dari mereka hanya
menggelupur sedih dengan realiti orang Islam.

Mereka masih tidak mengetahui jalan kerja (tariqul ‘amal). Kalaupun mereka tahu, mereka dihalang pula oleh rasa takut dan ingin menjaga kepentingan. Takut memikul risiko dakwah dan pengorbanan serta inginkan harta dan kepentingan dunia.

Justeru, mereka mengasingkan diri di masjid-masjid atau di rumah masing=masing meratapi nasib Islam dan membiarkan generasi dan belia Islam dididik dan dibentuk oleh puak-puak atheis, sekularisme, komunisme dan wujudiah, menjerumuskan belia Islam kepada kerosakan dan kehidupan hawa nafsu, zina, arak dan berpoya-poya tanpa batasnya.

Mereka yang bersembahyang, bersemangat dan yang berdukacita melihat
keadaan umat Islam ini sebenarnya turut membaca kitab-kitab fiqh, kitab-kitab ‘zuhud’ dan ‘al-Raqaiq’ yang menjadi sumber petikan kita.

Tetapi ketakutan mereka tidak dapat membuka mata mereka untuk mengamati laungan orang ikhlas yang berjuang di sepanjang zaman, sejak zaman sahabat-sahabat Rasulullah hingga ke hari ini.

Da’i yang ikhlas itu tidak henti-henti mengajak umat Islam agar bekerja untuk Islam, membawa khabar gembira dengan kedatangan fajar baru Islam, dakwah orang ramai, memberi peringatan kepada yang lalai dan menyuruh ahli uzlah tadi meninggalkan tempat uzlah supaya tampil ke tengah-tengah gelanggang perjuangan dan medan jihad untuk berjihad dan berkorban.

Kesedihan ini merupakan kesedihan yang ‘tak guna’ibadah yang tak digalakkanuzlah yang sia-sia danbid’ah yang meruntuhkan, walaupun ia disertai dengan niat yang ikhlas dan baik.

Inikah kita?

AH
22 Ogos 2009, 11.54 pagi
Nice, France

Yang Terbaik Di Kalangan Yang Terbaik

Assalamualaikum,

Kita mungkin telah memahami kekusutan umat yang dengan rela diri terjun ke lembah kehinaan. Kawasan yang penuh kedustaan dan kehinaan.

Kita juga menyedari dan berasa beruntung di atas nikmat dikurniakan kesedaran. Bukan hanya sedar, tetapi kita sedang melalui jalan ini. Jalan yang dilalui oleh para salafussoleh. Sehinggakan ada yang mewakafkan dirinya di jalan ini sepenuhnya.

Kita berasa…

“Ya, akulah di kalangan orang yang terpilih yang dikurniakan tanggungjawab untuk memikul beban yang berat ini”

Alhamdulillah.

Namun, keikhlasan diri seseorang itu tidak akan membuatkannya hanyut dengan merasakan dirinya adalah yang terbaik.

Kita perlu menjadi yang terbaik di kalangan yang terbaik!

Sabda Rasulullah s.a.w :

“Telah datang Jibril kepadaku seraya berkata: `Ketahuilah bahawa kemuliaan seseorang Mukmin itu terletak pada mengerjakan ibadah qiamullail dan kehormatannya terletak pada keengganannya meminta-minta.”

Kemuliaan kita ini bukannya bergantung kepada berapa banyak input yang telah kita berikan, berapa jauh perjalanan yang telah kita tempuhi untuk ke tempat-tempat program, berapa banyaknya wang yang telah kita infaqkan di jalan ini.

Kemuliaan kita terletak pada qiamullail.

Muhasabah diri, berapakah kekerapan kita berqiamullail? Andai kita kerap melakukannya, adakah ia berkualiti? Sudahkah terasa manisnya?

Ibadat malam ibarat waktu seorang kekasih bersama orang yang dicintainya. Tidakkah satu pasangan kekasih itu merasa nikmat ketika berdua-duaan.

Persoalannya, sudahkah kita terasa akan nikmat yang sedemikian rupa?

AH
20 Ogos 2009, 11.58 malam
Nice, France

Teori Dan Praktikal

Assalamualaikum,

Memang best berteori, tetapi susah bila berhadapan dengan situasi praktikal. Mungkin itu salah satu sebabnya kita mudah merancang, tapi sukar melaksanakan.

Atau..

Mudah berkata-kata, tapi sukar mengamalkan apa yang diperkata. Di hadapan orang, lidah begitu lancar dalam berbicara..

“Ok adik-adik, marilah sama-sama kita beramal dengan ayat ini.”
“Janganlah kita leka dengan kesenangan yang kita dapat. Sementara je ni”
“Syurga itu best, so marilah kita berlumba-lumba mengejarnya”
“Korang tak takut masuk neraka ke buat kerja-kerja camni?”
“Balik ke Malaysia nanti, jangan futur pula ye..”

Realitinya?

Hanya ALLAH yang mengetahui. Disebabkan itu, maka muncullah firman ditujukan khas kepada kita :

Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu kerjakan. – As-Saff, ayat 2-3

Semoga kita menjadi golongan yang sedikit berkata-kata, tetapi banyak beramal.

Moga perancangan kita muntij dan gerak kerja kita produktif.

AH
16 Ogos 2009, 3.42 petang
Nice, France